_ SHAH ALAM, 1 FEBRUARI – Seramai 91 orang ahli Kelab berbasikal ACT (Associated Cyclosportif Trekkers) tidak melepaskan peluang menimba ilmu dan tips – tips kejayaan Karangkraf membina empayar terbesar dalam bidang penerbitan di Malaysia semasa berziarah ke sini.
Lawatan penuh ilmiah yang pertama kali dibuat oleh ACT ini bertujuan untuk merapatkan ukhwah di antara ACT dan pihak Karangkraf di samping mengenali dengan lebih dekat latarbelakang dan proses penerbitan bahan bacaan yang dilaksanakan oleh Karangkraf setelah hampir 30 tahun bertapak di negara ini. Pusat Komuniti Sekian lama nama Karangkraf mendapat tempat di hati masyarakat dengan bahan bacaan yang mereka minati, kini mereka mengorak langkah lagi ke depan dengan menyediakan ruang luas sebagai medan mencambahkan ilmu pengetahuan pula. Menurut En.Hashim Anang, Pegawai Perhubungan Awam Karangkraf, “ Dewan ini sebagai tempat yang sesuai untuk perbincangan, forum, pertukaran pandangan, motivasi dan lain-lain. Kawasan lapang di luar pula dijadikan tempat umum untuk masyarakat membuat program terbuka seperti tayangan secara langsung perlawanan bola sepak. Sementara itu, kami masih dalam perancangan membina sebuah surau yang akan menempatkan seramai kira-kira 300 orang untuk menunaikan solat jumaat di sini.” ujarnya ceria. Rakan Usahawan Yakmal Menurut ketua lawatan, En. Amiruddin bin Rasedin, “Kami amat berbangga dengan usaha dan kerja keras di pihak Karangkraf sehingga dapat menjadikan lokasi Karangkraf sebagai pusat komuniti. Kita sangat syukuri adanya usahawan bumiputera yang berjaya ke peringkat ini, kerana dengan sendirinya dapat membuka mata usahawan bumiputera baru di kalangan kami. ACT kini merangka untuk membangun usahawan – usahawan bumiputera melalui program bimbingan yang dinamakan ‘Rakan Usahawan Yakmal’. Selain itu, ACT juga turut membuat liputan tentang potensi usahawan bumiputera di lokasi terpilih semasa program jelajah berbasikal di kawasan desa – desa melalui Kelab ACT peringkat setiap negeri. ACT berhasrat dapat menampilkan satu mesej, di mana masyarakat desa juga mampu maju ke depan dengan memanfaatkan potensi ekonomi yang ada. Rahsia kejayaan Turut hadir dan sedia berkongsi pengalaman bersama ACT pada hari tersebut ialah Pengarah Urusan Karangkraf sendiri, Dato Hussamuddin bin Haji Yaacub. Menurut beliau, ayat Al-Quran yang pertama diturunkan dalam Surah Al-Alaq menjadi asas kepada inspirasi beliau untuk melahirkan Karangkraf. “Bacalah..kerana baca itu akan membuat kita menjadi seorang manusia yang lain daripada yang lain. Saya menjadi penerbit untuk memandaikan orang, jadi saya rasa bisnes ini diredhai Allah. Ada halangan tapi Allah permudahkan. Karangkraf membantu banyak orang yang dulunya tak suka membaca dan sekarang sudah minat membaca, itu evolusi. Bayangkan beratus ribu orang datang dari seluruh tanah air semasa Karnival Karangkraf baru-baru ini, sanggup meletakkan kereta sejauh 2km, berjalan kaki dengan cuaca panas, dan kemudian beratur panjang berjam-jam semata-mata hanya untuk membeli buku. Allah yang gerakkan hati mereka untuk datang ke sini.” Antara rahsia kejayaan menjadi usahawan dan pesanan beliau ialah:
Membentuk jaringan Usahawan baru ACT yang turut hadir diharapkan dapat memanfaatkan peluang yang ada dan info yang sangat bermakna ini untuk diaplikasikan ke dalam perniagaan mereka. Seorang dari mereka, En. Rasyid, 25 tahun yang masih baru berkecimpung di dalam dunia perniagaan berkata, “Ini adalah titik pertemuan yang lebih professional bagi saya. Saya dapat belajar banyak perkara dalam bidang yang saya ceburi kini iaitu bisnes percetakan dan pengiklanan. Info, pengalaman yang dikongsikan dapat memberi motivasi dan semangat kepada usahawan yang baru seperti saya. Saya mengharapkan supaya adanya jaringan perniagaan yang baik dengan Karangkraf terutamanya dalam mencetak bahan dalam kuantiti yang besar.” Turut hadir di dalam lawatan tersebut ialah En. Ahmad Fauzi b. Hassan, Koordinator ACT Selangor dan En. Muhammad Nazir Mohammed Khalid, penulis buku Karya Bestari iaitu ‘Smart Muqaddam’ yang membincangkan tentang kuasai ilmu tajwid dan hafazan. Lawatan tersebut berakhir pada pukul 1.00 pm dan destinasi terakhir yang dikunjungi oleh ahli ACT ialah ke galeri jualan buku terbitan Karangkraf. - TNS _PETALING JAYA - Sabtu, 7 Januari, Tim Nasional Selangor dijemput untuk menghadiri perasmian pembukaan kedai basikal, Orange Cycle di Petaling Jaya. Tim Nasional Selangor dijemput adalah bertujuan untuk menyaksikan perasmian dan juga sekaligus untuk merapatkan hubungan kedai tersebut dengan Tim Nasional Selangor.
_SHAH ALAM - Pada 7 Januari 2012, Tim Nasional Selangor telah mengadakan mesyuarat rasmi yang pertama bagi tahun 2012 ini. Mesyuarat ini telah diadakan di UiTM Shah Alam. _Dalam mesyuarat ini, kami membincangkan pelan tindakan bagi tahun ini dan juga pembahagian job scope berdasarkan Balanced Score Card. Pembahagian job scope ini merangkumi bidang-bidang, ekonomi, sukan, pendidikan, politik, sosial, pertanian dan media.TNS _ PAYA JARAS, 24 Disember – Program Hari Kesihatan di sini disambut ceria oleh penduduk Kg Paya Jaras Dalam dengan kehadiran dari pelbagai lapisan masyarakat kerana julung kali diadakan. Program ini anjuran Kelab berbasikal ACT dengan kerjasama JKKK Kg Paya Jaras Dalam dengan tema ‘Mari amalkan gaya hidup sihat’. Hari Kesihatan tersebut berlangsung di Balairaya JKKK Kg Paya Jaras Dalam, bermula dari jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengahari. Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh, Tok Penghulu Mukim Sungai Buloh 1, En. Hasan b. Haji Idris yang sangat bangga dengan ACT, kerana sudi turun ke kampung – kampung untuk memberi kesedaran tentang pentingnya menjalani hidup yang sihat. Program bermula dengan aktiviti kayuhan sejauh 13.2 km, melibatkan seramai 25 orang peserta kayuhan ACT dan 8 orang ahli JKKK Kg Paya Jaras Dalam termasuk Tok Penghulu Mukim yang turut sudi berkayuh bersama, mengelilingi kampung tersebut. Menurut Ketua Ekspedisi ACT, En. Ahmad Fauzi Hassan, beliau sangat menggalakkan gaya hidup yang sihat, dengan menjadikan senaman sebahagian daripada kegiatan harian. Apabila bersenam, kadar denyutan jantung dan pernafasan meningkat dengan menyediakan lebih banyak oksigen kepada sel – sel badan. Oksigen yang dibekalkan kepada sel - sel memainkan peranan penting untuk menjaga kesihatan dan mencegah penyakit. Lebih banyak oksigen beredar dalam sistem tubuh, lebih banyak tenaga yang dihasilkan, dan tubuh akan berasa lebih sihat. Oleh itu, beliau memilih untuk melakukan senaman berbentuk aktiviti fizikal seperti berbasikal, supaya lebih dekat dengan masyarakat dan dapat mempengaruhi golongan anak muda kepada aktiviti yang lebih berfaedah. Selesai kayuhan, program diteruskan dengan aktiviti senaman aerobik di kalangan wanita yang dipimpin oleh Puan Puspa. Walaupun hujan mulai turun renyai – renyai, penduduk masih bersemangat untuk bersenam. Turut hadir di program tersebut ialah Timbalan Pengarah DUN, Tuan Haji IR Isni bin Dahlan berkata, “Ketika saya berkayuh, seperti ada kekuatan yang luar biasa dan tidak timbul penat kerana ada berkat dengan semangat kerjasama dan kepimpinan yang ditunjukkan dari semua peserta ACT yang berkayuh. Berbasikal dalam baris lurus yang mengikut pemimpin di depan, seperti Imam Bukhari R.A meriwayatkan daripada Saidina Umar bin AL Khattab R.A, bahawa beliau berkata yang bermaksud: ‘Tidak ada Islam melainkan dengan jamaah, dan tidak sempurna jamaah tanpa pemimpin dan tidak ada erti kepimpinan tanpa ketaatan,”. Hari Kesihatan kali ini menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma dari Klinik Kesihatan Sungai Buloh yang diketuai oleh Dr Selva Mala a/p Periasamy, telah hadir bersama 5 orang kakitangan lain. Perkhidmatan ini meliputi pemeriksaan tekanan darah, kencing manis, mendapatkan indeks jisim tubuh (BMI) yang sesuai dengan umur dan kaunseling. Dr Selva Mala melahirkan rasa amat terharu dan bangga kerana majoriti yang hadir di program ini membuat pemeriksaan kesihatan di sini dan memanfaatkan peluang yang ada untuk bertanya tentang masalah kesihatan mereka. Beliau juga menyokong aktiviti berbasikal yang dianjurkan oleh ACT, kerana ia sangat baik untuk kesihatan tubuh badan di samping tidak melibatkan kos yang terlalu tinggi. Walaubagaimanapun, menurut Ketua Kg Paya Jaras Dalam, En. Mohd Jafri, kehadiran penduduk kurang kerana keadaan cuaca yang hujan, dan sebahagian yang masih bekerja, sementara golongan warga emas pula kebetulan telah menyertai rombongan kesihatan ke luar daerah. Beliau merancang untuk mengadakan sekali lagi program tersebut dengan pengisian yang berbeza. Gaya hidup yang sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengekalkan pengamalan kegiatan harian yang berlandaskan aktiviti yang sihat dan bersedia untuk mengubah sikap yang selalu memandang rendah kepentingannya, di samping memahami konsep bahawa mencegah lebih baik dari mengubatinya. TNS-Norhasyimah Hassan Pertandingan ACT Got Talent (AGT) 2011 mencatatkan sejarahnya tersendiri. Pertandingan kali ini adalah kali kedua diadakan dan mendapat kehadiran penuh di Dewan Panggung Seni UKM di Bangi. Pertandingan peringkat akhir bagi tahun 2011 ini, menunjukkan semangat yang tinggi yang diberikan oleh setiap peserta. Kehadiran penonton lebih dari 400 orang telah menonjolkan bahawa budaya begini masih mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia. Tarikh keramat, Ahad, 18 Disember 2011 telah menjadikan seramai 11 peserta mengambil bahagian apabila berjaya ke peringkat akhir ini dari peserta solo dan berkumpulan memulakan pertandingan tepat jam 2 petang. Pertandingan ini juga mempromosikan kebudayaan masyarakat Malaysia di mana pertandingan merangkumi persembahan dari budaya timur dan barat. Pertandingan yang berakhir dengan kemenangan dari kumpulan King Bridge, mendapat tempat pertama, persembahan En. Mustafa Saad mendapat tempat kedua dan Puan Salehatul Khuzaimah tempat ketiga.
Persembahan mantap dari ketiga-tiga itu membawa pulang trofi dan wang. Diharap AGT tahun depan dapat memperlihatkan dengan penyertaan yang lebih ramai lagi. Sekian. Admin _Negeri Selangor (juga dikenali sebagai Selangor Darul Ehsan) merupakan salah satu daripada tiga belas negeri yang membentuk Malaysia. Ia terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia di pantai barat dan mengelilingi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Negeri ini juga bersempadan dengan Negeri Perak di utara, Pahang di timur, Negeri Sembilan di selatan dan Selat Melaka di sebelah barat. Negeri ini mengamalkan sistem raja perlembagaan sejak turun-termurun, dan sekarang di bawah naungan Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj. Semenjak 10 Mac 2008 hingga ke hari ini, Menteri Besar Selangor adalah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Ibu negeri Selangor ialah Shah Alam dan merupakan bandar raya pertama di negeri ini. Bandar diraja negeri ini ialah Klang. Bandar utama yang lain ialah Petaling Jaya, yang mendapat status sebagai bandar raya kedua di negeri ini pada 20 Jun 2006. Selangor adalah satu daripada dua negeri yang mempunyai lebih daripada satu bandar raya, selain Sarawak. Selangor juga mempunyai bandar yang terbanyak di Malaysia, ini berikutan pembangunan pesat akibat daripada kemodenan di Lembah Klang. Selangor juga merupakan negeri yang terkaya di Malaysia, berdasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita. Negeri ini merupakan negeri yang termaju di Malaysia dengan mempunyai infrastruktur yang terbaik seperti lebuhraya dan pengangkutan awam. Bilangan penduduk di negeri ini juga, merupakan yang terbanyak di Malaysia dengan kualiti hidup yang tinggi dan kadar kemiskinan negeri yang terendah di Malaysia. Jumlah penduduk Negeri Selangor pada tahun 2010 adalah sejumlah 5,462,141 orang. Peratusan mengikut kaum adalah Bumiputera sebanyak 57.1%, Cina 28.6% , India 13.5% dan lain-lain sebanyak 0.8%. Dari segi anutan pula, Islam merangkumi 57.9%, Kristian 3.8%, Buddha 24.4%, Hindu 11.6% dan lain2 anutan 2.3%.
Negeri Selangor memiliki sebuah pasaran ekonomi yang maju dan terbuka dengan KDNK (keluaran dalam negara kasar) per kapita (PPP) yang tertinggi di Malaysia iaitu sekitar USD33,147 pada tahun 2008, setanding dengan nilai per kapita negara eropah barat dan Hong Kong. Bidang eksport, perindustrian, pertanian dan perkhidmatan merupakan aspek-aspek terpenting dalam ekonomi negeri Selangor. Sektor perindustian merupakan penyumbang utama terhadap kerancakan ekonomi negeri iaitu menyumbang lebih 58% dalam KDNK negeri pada tahun 2008, malah ia merupakan nadi ekonomi Negara. Selangor mempunyai sektor pembuatan seperti elektronik, bahan kimia dan kenderaan automotif yang terbesar di Malaysia, seperti kereta proton dan perodua. Pelabuhan Klang yang merupakan faktor utama kemajuan perindustrian di Selangor, pelabuhan ini juga merupakan pelabuhan yang tersibuk dan terpenting di Malaysia. Negeri Selangor juga menjadi tarikan utama pelabur asing dari luar negara. Selain terkenal dengan perindustrian dan pelabuhan, bidang pertanian juga semakin berkembang maju walaupun hanya menyumbang 3.1% kepada KDNK negeri. Antara kerjayaan yang telah dikecapi adalah seperti Selangor Fruit Valley merupakan pengeluar buah-buahan tropika terbesar dunia seperti belimbing, betik dan pisang. Begitu juga dengan sawah padi di Kuala Selangor yang diurus secara estet dengan kaedah pengairan serta penanaman moden, berjaya mengeluarkan hasil purata sehektar tertinggi di negara ini iaitu lebih 7 tan sehektar. Aktiviti pertanian kelapa sawit dan getah juga dijalankan di negeri ini. Itulah serba sedikit ringkasan mengenai Negeri Selangor Darul Ehsan. Diharapkan ianya menjadi satu informasi yang berguna bagi pembaca semua. Admin _ DENGKIL, 6 Disember - Mempereratkan ikatan silaturahim dan bermatlamatkan aspirasi negara untuk semua golongan masyarakat, ACT cawangan Selangor melawat Ketua Kampung Dengkil bagi melanjuti ikatan ini pada Sabtu lepas, 4 Disember. Sebelum ini, ACT pernah membuat kayuhan iaitu Kayuhan Cinta Negara pada 2010 dengan menjadikan Kampung Dengkil ini salah satu destinatinasi perhentian. Kampung Dengkil ini yang bersebelahan Putrajaya adalah kampung tradisi yang agak moden. Ketua Kampung Dengkil, Tuan Haji Mahmud bin Bunyamin mengajak kami untuk mengait rambutan di hadapan rumahnya. Beliau menyatakan bahawa kawasan Kampung Dengkil ini tiada industri kecil dan sederhana (IKS) disebabkan majoriti penduduk kampung bekerja di Putrajaya, Cyberjaya dan kawasan yang berdekatan. Penanaman pokok buah-buahan sahaja menjadi kerja sambilan bagi penduduk kampung memenuhi masa lapang. Rombongan tersebut juga melawat pokok yang ditanam semasa program Kayuhan Cinta Negara. Alhamdulillah, pokok dalam keadaan baik. Selepas selesai lawatan, dalam perjalanan pulang kami singgah ke Taman Cabaran Putrajaya. Sekian. Admin
_HULU BERNAM, 20 November – Peserta kayuhan basikal ACT Selangor berjaya menamatkan kayuhan sejauh 126.7 km mengelilingi tiga mukim terbesar di sini dalam tempoh 2 hari bermula pada 19 November 2011 dan berakhir semalam. Peserta terdiri daripada 34 orang atlit dan 22 orang panitia, dari latarbelakang yang berbeza meliputi pelbagai lapisan masyarakat.
Selain dari mempromosi cara hidup yang sihat, menurut Ketua Ekspedisi Kayuhan Kenali Desa 2011, En. Ahmad Fauzi bin Abu Hassan kayuhan ini turut bertujuan untuk mengenali masyarakat desa dengan lebih dekat khususnya di negeri Selangor memandangkan kebanyakan atlit adalah berasal daripada bandar. Tabuh yang kian jarang didengari di bandar berbunyi bersama kumandang suara azan subuh menandakan bermulanya program ini. Kesemua peserta sudah bersiap sedia untuk solat subuh berjemaah di Masjid Nurul Hidayah, Kg Desa Maju Sg. Tengi. Program diteruskan dengan tazkirah ringkas oleh imam masjid bertajuk ‘Agama yang diredhai Allah ialah Islam’. Imam masjid turut berpesan agar memanfaatkan masa dengan perkara yang lebih berfaedah, “kalau sibuk urusan dunia, jangan sampai akhiratnya tercicir,” katanya. “Saya amat kagum dengan semua peserta, anak-anak muda melayu yang amat berdisplin dan berkumpul seawal pagi untuk memulakan kayuhan di mukim yang terbesar di negeri Selangor ini. Saya harap anda semua dapat menjaga stamina dengan baik,” kata Penghulu Mukim Hulu Bernam Utara, En. Mohammad Jamali sebelum merasmikan pelepasan peserta kayuhan pada pukul 8.30 pagi di Dataran Kg. Desa Maju Felda Sungai Tengi. Wakil ACT Selangor telah menyerahkan dan sebahagiannya ditanam oleh mereka sendiri pokok-pokok buah yang terpilih di setiap hentian, sebagai tanda silaturahim yang berterusan antara atlit dan pihak kampung yang terlibat di samping menangani isu pemanasan global. Sebanyak 14 kampung yang sempat disinggahi oleh kesemua atlit dimulai dengan 7 kampung pada hari pertama di Mukim Hulu Bernam Selatan iaitu Kg.Gedangsa, Kg.Gesir Tengah, Kg. Lalang, Kg. SKC Seri Keledang, Kg. Alah Batu dan berakhir di Kg. Soeharto. Rakan Masjid Al-Makmur Gedangsa Tepat jam 10 pagi sejauh 20.06 km peserta tiba ke lokasi yang pertama iaitu di Masjid Al-Makmur Kg. Gedangsa. Kehadiran ACT Selangor disambut dengan baik oleh penduduk setempat dengan disertai Kumpulan Basikal Milamar di bawah kelolaan Rakan Masjid Al-Makmur Gedangsa. Dengan adanya rakan masjid yang aktif di sini, kebanyakan anak-anak peneroka dan belia kampung terlibat dengan aktiviti yang lebih berfaedah. Sebahagian daripada mereka telah mengusahakan penternakan lembu dan kambing yang sekurang-kurangnya 30 ekor setiap orang yang menjadi sumber utama pendapatan mereka, selain perkhidmatan kolam pancing. Menurut Pengerusi JKK Kg. Gedangsa, Tn Hj Mansor bin Sarip, Kg. Gedangsa adalah sebuah rancangan yang tertua dan pada awal penubuhannya adalah sebuah estet getah bukanlah kawasan rancangan kelapa sawit. Kini kawasan tersebut kian membangun dengan infrastruktur yang lengkap, dan setakat ini hanya perpustakaan yang diharapkan dapat dibina. Peserta kayuhan bergerak ke lokasi kedua di Kg. Gesir Tengah yang terletak sejauh 9.11 km dari lokasi sebelumnya, dan atlit tiba pada pukul 11.20 pagi. Pengerusi JKK Kg. Gesir Tengah, En.Mohd Salleh bin Ri yang menyambut ketibaan atlit ACT Selangor melahirkan rasa bangga kerana semua atlet adalah bebas dari merokok dan membawa mesej cara hidup sihat dengan sangat baik di samping aktif dengan riadah berbasikal. Mereka kemudian mengelilingi Kg. Lalang yang berdekatan, sejauh 2 km untuk menanam pokok dan meneruskan perjalanan. Bersemangat waja dan penuh kesabaran Di bawah panas terik mentari dengan laluan berbatu pasir dan lopak yang banyak, sangat mencabar bagi atlet ACT Selangor untuk tiba ke kampung seterusnya iaitu Kg. SKC Seri Keledang. Kalau tidak kerana semangat waja dan kesabaran yang tinggi pasti ramai yang sanggup berpatah balik dari melalui jalan yang hanya dilalui oleh lori pasir ini. Walaubagaimanapun, dusun betik terbesar di sepanjang laluan di sini sangat menarik perhatian kerana berbuah cantik, yang membanggakan ialah pengusahanya melayu. Perjalanan ke sini dengan berbasikal mengambil masa sejam setengah, sejauh 21.2 km. “Ibarat ular yang menyusur di bawah akar, bisanya takkan hilang, begitulah perumpamaan yang boleh saya katakan untuk semangat yang ditunjukkan, pendekatan dan kepimpinan Ketua Ekspedisi anda semua di sini. Saya rasa sangat bersyukur tuan-tuan semua sanggup ke sini dengan usaha yang murni, kerana kampung ini ketandusan kepimpinan yang sebegini,” puji En. Ashaari Amzah, Pengerusi JKK Kg. SKC Seri Keledang. Menuju ke destinasi keenam, sebuah kampung yang dikatakan termiskin di Selangor, iaitu Kg. Alah Batu sejauh 5.36 km dari lokasi sebelumnya atlet melalui jalan berbatu-bata yang tidak rata dengan lebar yang sangat kecil dan hanya muat untuk sebuah kereta sahaja. Penat berkayuh atlet kian pudar apabila melihat dari jauh, sebahagian anak-anak kecil yang sedia menyambut ketibaan mengibarkan jalur gemilang penuh semangat mengiringi atlet untuk masuk ke balairaya Kg. Alah Batu. Bagi Ketua Kg. Alah Batu, En.Aziz b. Mohd idris, “Ini adalah pencapaian yang sangat baik kerana untuk sampai ke sini jauhnya lebih 50 km dari pusat bandar,” ujarnya sambil menceritakan sejarah nama asal kampung tersebut. Felda Soeharto Atlet mulai bergerak ke hentian terakhir untuk hari pertama, menuju ke Felda Kg. Soeharto sejauh 24.42 km, dalam keadaan hujan lebat dan berkabus melalui semula jalan yang berlopak tadi memang sangat menguji ketahanan dan tiba di Masjid Al-Taufiqiyah pada jam 5.42 petang. Menurut imam masjid di sini, nama asal kampung ini ialah Kg. Sg. Dusun, kemudian ditukar kepada Kg. Soeharto bersempena dengan lawatan bekas presiden Indonesia, Soeharto. En. Sahiful Nahar bin Dimyati, 42 wakil ketua Kg. Soeharto adalah generasi kedua peneroka di sini, yang kembali semula ke kampung sebagai pembimbing kepada generasi ketiga. Menurut beliau, perniagaan IKS yang paling berjaya di Kg. Soeharto ialah dari ketua kampungnya sendiri, En. Rufaie bin Waris yang telah mengusahakan perniagaan keropok dan kerepek mewarisi perniagaan ayahnya, kini mendapat pasaran meluas di seluruh tanah air dan biasanya boleh didapati di hentian-hentian lebuhraya utara selatan. Beliau amat berharap agar ahli ACT Selangor dapat menganjurkan program bersama anak muda generasi ketiga di sini tentang bengkel keselamatan jalanraya dan motivasi untuk masa akan datang. Pada hari kedua, atlet ACT Selangor meneruskan kayuhan melalui dua mukim lagi yang terdiri daripada 7 kampung iaitu Kg. Sg Selisik, Kg. Serigala, Kg. Org Asli Serigala, Kg Hasan, Kg. Hulu Bernam Utara, Kg. Baru Sejantung dan berakhir di Kg. Pasir Puteh Kalumpang. Skim Micro Credit bantu IKS Lokasi pertama kayuhan adalah sejauh 20.20 km dan tiba di Dewan Serbaguna Sg. Selisik pada pukul 10.02 pagi. Kehadiran atlet ACT Selangor disambut meriah oleh penduduk kampung dengan disambut oleh anak-anak kecil yang berbasikal mengiringi ke dewan. Peserta kayuhan turut didedahkan pelbagai produk IKS yang boleh dibeli dan diberi percuma seperti dodol, tapai ubi, tat bengkulu, burger kampung, bahulu kemboja, kuih tiram, ikan pekasam, kerepek dan juga pameran beberapa barang dapur seperti dulang,dan pinggan mangkuk kaca. “Besarlah harapan saya agar nilai-nilai tradisi oleh nenek moyang kita dipelihara, agar tidak terlepas pandang oleh generasi muda hari ini, selari dengan hasrat ACT Selangor kenali desa kerana bakal menjadi aset untuk generasi masa akan datang. Selain itu, saya juga berharap agar program ini berkonsep seperti serampang dua mata supaya produk IKS di sini boleh pergi jauh dan menjadi sumber pendapatan yang tetap bagi mereka.”, bicara pembuka dari Pengerusi JKK Kg Sg. Selisik, En. Yusop Yaacob. “Skim Micro Credit (SkimSel) banyak membantu dan mengubah taraf hidup penduduk di sini melalui perniagaan IKS. Pendekatan yang digunakan untuk memastikan perniagaan ini berjaya ialah melalui perniagaan secara berkumpulan iaitu 5 orang satu kumpulan, perlu menghadiri perjumpaan secara mingguan dan dipantau oleh saya sendiri,” ujar beliau lagi. Atlet ACT Selangor kemudiannya turut singgah ke Kg. Serigala yang terletak kira-kira 300 m dari lokasi berkenaan untuk sesi penanaman pokok. Hari Jadi Orang Asal Dari jalan besar kelihatan papan tanda Kg. Orang Asli Serigala, sejauh 8 km ke dalam ialah jalan masuk ke lokasi atlet ACT Selangor seterusnya. Jalan yang melekuk-lekuk dan bentuk muka bumi yang tidak rata seolah-olah seperti ‘roller coaster’ ini akhirnya berjaya juga ditempuh dan tiba di sini pada pukul 11.45 pagi. Menurut Tok Batin (gelaran yang dilantik oleh sultan) Kg. Orang Asli Serigala di sini, Batin Husin bin Awa, nama kampung tersebut telah beratus tahun terdiri daripada 198 orang yang berasal dari pelbagai suku kaum seperti temuan, semai dan lain-lain. Cukup membanggakan ialah setiap dari orang asli di sini dididik dari kecil untuk mengetahui ‘tarian sewang’, tarian tradisi mereka. Begitu juga dengan bahasa pertuturan, mereka masih lagi bertutur dengan bahasa suku kaum masing-masing. “Saya pun memang menggalakkan anak-anak muda kini untuk menglibatkan diri dalam aktiviti riadah seperti ini. Kini, saya sedang usahakan untuk dapatkan satu hari cuti umum sempena meraikan perayaan Orang Asli yang dinamakan ‘Hari Jadi Orang Asal’ supaya turut dimasukkan di dalam kalendar tahun hadapan. Saya baru dimaklumkan bahawa usaha ini akan berjaya.”ujar beliau lagi yang turut menjelaskan sebahagian Orang Asli di sini majoritinya masih dengan kepercayaan anisma lagi, walaupun ada sebahagian dari mereka adalah Muslim. Kebun Pisang terbesar di Malaysia Destinasi seterusnya ialah ke Kg. Hasan yang terletak 8km dari lokasi singgahan sebelumnya, atlet tiba di kawasan ini pada pukul 12.50 pm dan berkumpul di Balai JKKK Kilang Papan dan Kg Hasan Hulu Bernam. Di sepanjang perjalanan kali ini, kami mendapati kebun pisang yang terbesar di Malaysia, milik kerajaan negeri dan pengusaha eset pisang tersebut. Ini bertujuan untuk di export keluar negara, yang berjenama ‘Dole’. Pengerusi JKKK Kg Hasan, En.Chew Cheong Soon berkata, “aktiviti ini banyak memberi pendedahan kepada orang kampung setempat dan menjadi satu pengalaman baru bagi mereka kerana inilah julung kalinya sebuah kelab basikal datang melawat org kg. di sini”, dengan gembira beliau memberi sumbangan air minuman bertenaga, jenama ‘Revive’ kepada semua ahli ACT Selangor. Walaupun nama tempat ini ialah Kg. Hasan sempena nama tuan tanahnya yang asal, tetapi kini penduduk majoriti kg ini ialah kaum Cina. Paling menarik, En. Chew Cheong Soon sanggup meluangkan masa dengan turut sama mengayuh basikal menuju ke kampung yang seterusnya, iaitu Kg. Hulu Bernam Utara sejauh 780 m, berkumpul di perkarangan kedai makan dan mereka semua tiba di situ pada pukul 1.00ptg. Kongsi pengalaman berbasikal Menurut wakil ketua Kg. Hulu Bernam Utara, En. Md Tajuddin bin Hj Salam, jumlah penduduk di sini adalah sekitar 2000-2500 orang yang terdiri daripada 70% kaum Melayu, 20% kaum Cina, dan 10% adalah dari kaum India. Kebanyakan dari penduduk di sini, biasanya berurusan di pekan Tanjung Malim sahaja memandangkan lebih dekat, termasuk anak-anak yang sekolah. En.Aziz bin Ariffin, 61 penduduk sebagai wakil JKKK menceritakan pengalaman beliau ketika remaja dulu yang mengayuh basikal setiap hari berulang dari Pelabuhan Klang ke Banting, disebabkan bersekolah di Pelabuhan Klang sejauh kira-kira 40km. Hujan mulai turun renyai-renyai, kami tetap meneruskan kayuhan ke Kg. Baru Sejantung yang terletak 7.45 km dari Kg. Hulu Bernam Utara dan tiba di sana pada pukul 3.00 ptg. En. Tan Kok An, 63 yang baru setahun menjawat sebagai Ketua Kg. Baru Sejantung, nama asal kampung tersebut ialah Kalumpang tetapi telah ditukarkan kepada Kg. Baru Sejantung. Penduduk di sini adalah majoritinya kaum Cina, yang mana biasanya program besar yang diadakan pasti akan turut bekerjasama dengan penduduk di Kg. Hasan, Kg. Kilang Papan dan Kg. Sejantung secara bergilir-gilir setiap tahun. Basikal Fixie yang berwarna-warni Kayuhan kali ini berakhir di Balairaya Kg. Pasir Puteh Kalumpang, 2.02 km sahaja dari Kg. Baru Sejantung Kalumpang, dan semua peserta kayuhan tiba di destinasi ini pada pukul 3.53 ptg. Kehadiran ACT Selangor disambut oleh 40 orang remaja belasan tahun yang berbasikal warna-warni, menjadi trend masakini remaja. Persembahan Basikal Fixie dari adik-adik ini amat mengagumkan, sekurang-kurangnya mereka terlibat dengan aktiviti yang sihat. Menurut Ketua Kg. Pasir Puteh Kalumpang, Tn Hj Tarmizi b. Karim, penduduk di sini adalah 100% terdiri daripada kaum melayu sahaja. Perkampungan asalnya ialah di kawasan Sungai Sabai yang terletak kira-kira 8 km dari jalan besar menuju ke Kuala Lumpur, yang kini hanya tinggal kebun getah sahaja. Kampung ini mendapat nama Pasir Puteh disebabkan oleh bekas tanah itu adalah lombong kapal korek yang penuh dengan pasir putih. Lawatan ke IKS terkenal Parang Craft Enterprise Majlis penutup diakhiri oleh En. Abdul Ghani bin Surani, Penghulu Mukim Kalumpang yang katanya, “Daerah Hulu Selangor ini adalah daerah yang paling besar di negeri Selangor, tetapi penduduknya paling sedikit disebabkan banyak terdapat estet dan penempatan menjadi terhad.” Selepas majlis penutupan kayuhan kali ini, Ketua Kg. Pasir Puteh amat berbesar hati kerana memilih kampung tersebut lantas sudi membawa kesemua peserta untuk melawat pengusaha IKS yang membuat sarung parang,sarung dan hulu keris, ukiran dan lain-lain lagi. Mohd Nazri b. Hj Jaafar, 55 mewarisi arwah bapanya iaitu menjual barang-barang kraf khususnya senjata orang-orang melayu lama. “Saya sering mendapat tempahan dari jauh seperti di Pahang dan serata semenanjung Malaysia,tetapi itulah saya masih belum lagi ada pelapis” kata beliau sambil tersenyum. Apabila ditanyakan, mungkin beliau bersedia untuk jadi tenaga pengajar di IKBN, beliau hanya mengangguk. Secara keseluruhan, kayuhan kenali desa 2011 ini mendapat sambutan yang baik di setiap kampung, malah amat baik untuk diteruskan lagi pada masa akan datang agar dapat mengenali dengan lebih mendalam lagi budaya dan cara hidup penduduk desa terpencil ini di samping mengeratkan hubungan sesama masyarakat di bandar dan luar bandar. Hulu Selangor, 19 November - Kayuhan Kenali Desa 2011 yang dianjurkan oleh Associated Cyclosportif Trekkers cawangan Selangor telah dilaksanakan dengan lancar dan sempurna. Seramai 34 pengayuh basikal dengan dibantu seramai 22 orang panitia, kelab ini telah melewati hampir keseluruhan daerah Hulu Selangor. Sebanyak 14 buah kampung, kelab ini telah menjadikan tempat persinggahan sambil bersilaturahim. Tujuan diadakan kayuhan ini adalah untuk mengenali desa dan kampung yang berada di dalam Hulu Selangor ini. Menurut Ketua Jelajah, Encik Ahmad Fauzi bin Abu Hasan, pendekatan yang ini julung-julung kali diadakan di Hulu Selangor dan mendapat reaksi yang positif dari pihak kampung yang terlibat. Kami juga mempromosikan gaya hidup sihat iaitu sambil berkayuh dan tidak mengamalkan dengan amalan merokok. Disamping itu juga kami mempromosikan 'Green Earth' atau 'Bumi Hijau' dengan menanam pokok pada setiap etape (tempat berhenti). Ianya bermula jam 10 malam pada 18 November dengan kehadiran para peserta dan panitia di Masjid Nurul Hidayah, Desa Maju Sungai Tengi Selatan sebagai tempat menginap. Keesokan paginya pula seawal jam 5 pagi, para peserta sudahpun membuat persiapan untuk solat bersama-sama penduduk dan ketua kampung. Tepat jam 8.30 pagi, acara perlepasan dan perasmian program Kayuhan Kenali Desa 2011 telah disempurnakan oleh Penghulu Mukim Hulu Bernam Utara, Encik Mohamad bin Jamali. Perjalanan pada hari pertama dimulakan dari Desa Maju Sungai Tengi Selatan dan terus melalui Kampung Felda Gedangsa, Kampung Gesir Tengah, Kampung Lalang, Kampung SKC Seri Keledang, Kampung Alah Batu dan Kampung Felda Soeharto. Jarak kayuhan pada hari pertama ialah sejauh 82km. Pada hari keduanya, bermula dari Kampung Felda Soeharto tepat jam 830 pagi. Perlepasan disempurnakan oleh Setiausaha JKKK Kampung Soeharto, En Nahar. Beliau bersyukur ke hadrat Illahi kerana ACT telah berhenti berehat dan bermalam di kampung tersebut. Ini akan menjadi satu titik di mana ikatan silaturahim akan bertapak di antara ACT dan Kampung Felda Soeharto. Seterusnya kami bergerak menuju ke Kampung Sungai Selisek, Kampung Serigala, Kampung Orang Asli Serigala, Kampung Hasan, Kampung Hulu Bernam Utara, Kampung Baru Sejantung dan berakhir di Kampung Pasir Puteh, Kalumpang. Di Kampung Pasir Puteh, kami disambut oleh Ketua kampung Haji Tarmizi bin Karim, Penghulu Mukim Kalumpang, En Abdul Ghani bin Surani dan wakil YDP Majlis Daerah Hulu Selangor, En. Suppiah. Penghulu Mukim Kalumpang mengatakan berbangga dengan program kayuhan ini kerana jarang sekali adanya program sebegini dan ini telah menjadi pencetus bagi masyarakat kampung untuk bersilaturahim sambil berkayuh.
Ketua kampung, Haji Tarmizi mengalu-alukan kehadiran kami dan meminta kami agar hadir lagi ke Kampung Pasir Puteh di masa-masa akan datang. Program Kayuhan Kenali Desa 2011 ini telah dirasmikan penutupannya oleh Penghulu Mukim Kalumpang. Sekian. TNS |
KATEGORI
All
Jumlah Pelawat ke sini
PENAFIAN |